Saturday, 27 April 2013

Pertandingan Kawad Kaki ♥

Assalamualaikum semua :)
Baru-baru ini Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Almashoor telah melibatkan diri dalam pertandingan kawad kaki yang berlangsung pada minggu lepas. Pertandingan kawad kaki ini berlangsung selama tiga hari iaitu pada hari Selasa (23/4) , Rabu (24/4) dan berakhir pada hari Khamis (25/4). Antara sekolah yang terlibat dengan pertandingan ini ialah SMK ST GEORGE, SMKA ALMASHOOR (L), SMK BUKIT JAMBUL, SMK SRIMUTIARA, SMJK UNION, SMJK PEREMPUAN CINA, SMJK HENG EE (P), SMJK HENG EE (L), SMJK CHUNG LING, SMJK CHUNGHWA, SMK CONVENT PULAU TIKUS, SMK CONVEN GREEN LANE, SMK AIR ITAM dan lain-lain. SMKA (P) Almashoor telah menyertai pertandingan ini dengan menghantar wakil daripada Persatuan Bulan Sabit Merah, Kadet Remaja Sekolah dan Kadet Bomba. Setelah bersusah payah guru-guru dan para pelajar menyumbang tenaga, akhirnya usaha tersebut membuahkan hasil yang sangat menggembirakan. SMKA (P) Almashoor telah meraih gelaran juara bagi persatuan Bulan Sabit Merah dan Kadet Remaja Sekolah. Kejayaan ini sangat menggembirakan semua pihak. Persatuan Bulat Sabit Merah bukan sahaja memenangi pertandingan ini malah mendapat gelaran Ketua Platun Terbaik Puteri. Oleh yang demikian, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Kadet Remaja sekolah telah berjaya mara ke pusingan yang seterusnya iaitu pusingan untuk mewakili negeri Pulau Pinang. Pertandingan kawad kaki bagi peringkat negeri akan berlangsung pada 11 Mei 2013. Moga-moga SMKA (P) Almashoor terus mara dan maju demi mengharumkan nama sekolah dengan berkat doa semua. Amiinnn. 







Monday, 25 March 2013

Pengenalan ♥

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Almashoor atau nama ringkasnya SMKA (P) Almashoor, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Medan Lim Cheng Teik, Jalan Burma. Pada tahun 2013, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Almashoor memiliki 0 pelajar lelaki dan 536 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 536 orang. Ia mempunyai seramai 47 orang guru.


Lokasi SMKA (P) ALMASHOOR
SMKA(P) AlMashoor terletak di Medan Lim Cheng Theik, berhampiran JalanBurma, 
George town, di dalam daerah Timur laut Pulau Pinang, Malaysia.


Lencana Sekolah


Lencana sekolah menitikberatkan tema “Beriman Dan Berilmu”. Simbol-simbol yang terkandung dalam lencana ini adalah berdasarkan tema ini. 1. Simbol buku : mempunyai isi pengetahuan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan. Jika kita berusaha belajar, kita akan memperolehi kejayaan. 2. Simbol obor : cahaya yang menggambarkan masa depan yang cerah. Juga menunjukkan kegigihan pelajar menghadapi cabaran. 3. Pohon padi : semakin besar, semakin berisi dan berguna Yakni semakin banyak pengetahuan yang diperolehi, semakin cerah masa depan. Kejayaan masa depan kita semua adalah seperti proses pertumbuhan padi yang bermula dengan proses menyemai benih padi hinggalah kepada proses menghasilkan beras. Bermakna kita mesti tekun menghadapi rintangan dengan hati yang tabah jika kita ingin mencapai kejayaan. 4. Bulan sabit & bintang : lambang agama Islam 5. 1916 : tahun sekolah ini mula ditubuhkan sebagai sekolah agama. 6. Warna : Kuning – Warna DiRaja; lambang kemuliaan Merah – bersemangat waja Putih – motif niat yang suci Hijau – warna keislaman.


Sejarah Sekolah
Sekolah Menengah Agama (P) Al Mashoor mula diasaskan atas kesedaran segolongan bangsa Arab di Pulau Pinang yang bimbang akan anak-anak yang kurang mendapat didikan agama. Pada tahun 1916 bersamaan tahun 1335H, suatu mesyuarat telah diadakan khusus mengenai penubuhan sebuah sekolah agama. Dengan usaha gigih dan semangat kerjasama semua pihak maka tertubuhlah sebuah sekolah agama yang dikenali dengan nama Madrasah Al-Quran di Lebuh Acheen (Masjid Melayu Pulau Pinang) dengan guru pertamanya Al-Syed Abdul Rahman Alhabshee dan guru besar pertamanya Al-Syed Al-Shaikh Al-Hadi. Madrasah ini terus mendapat sokongan yang menggalakkan dan pada tahun 1918 telah berpindah ke kawasan yang lebih besar di Kampung Jawa Lama, dengan nama Madrasah Al Mashoor Al-Islamiah sempena nama Tuan Habib Al Mashoor, seorang penghulu yang terkenal di Pulau Pinang pada masa itu.
Pada tahun 1920, Madrasah ini telah berpindah ke Lebuh Tek Soon di mana tapak sekolah adalah kepunyaan tuan Haji Bachik. Pada masa ini perkembangan sekolah berlaku dengan pesat sekali dan yuran sebanyak RM2 dikenakan kepada setiap pelajar. Semasa pemerintahan Jepun, Madrasah Al Mashoor telah ditutup selama 3 tahun 8 bulan dan dibuka kembali pada tahun 1945 setelah setelah British kembali ke Tanah Melayu. Usaha-usaha berterusan dijalankan untuk mendirikan bangunan baru bagi sekolah dan asrama untuk pelajar lelaki dan perempuan. Pada tahun 1957, sempena kunjungan YTM Tunku Abdul Rahman ke Madrasah Al Mashoor, beliau telah berjanji akan mendirikan bangunan baru bagi kedua-dua buah sekolah .
Sebuah jawatankuasa binaan telah ditubuhkan dan mereka telah bekerja keras untuk penubuhan sekolah baru. Waris-waris Almarhum Tuan K.M.S Sultan Alaudin mewakafkan sekeping tanah dan rumah di Jalan Lunas bagi tapak sekolah perempuan. Pada tahun 1979 Kementerian Pelajaran telah mengambil alih Madrasah Al Mashoor lelaki dan perempuan dan telah mendirikan sebuah bangunan baru di Jalan Air Itam untuk pelajar lelaki. Selepas tiga tahun kerajaan mengambil alih SMKA (P) Al Mashoor, ada cadangan untuk membina bangunan baru bagi menggantikan bangunan lama yang telah uzur dan tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Sementara menanti bangunan baru siap, pelajar-pelajar telah menumpang di SMKA (L) Al Mashoor dari tahun 1982 hingga tahun 1984. Pada bulan Oktober 1984 para pelajar perempuan mula berpindah ke bangunan baru dan tersergamlah bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al Mashoor di Medan Lim Cheng Teik, Pulau Pinang.

Fizikal Sekolah
  • Luas sebesar 0.75 hektar. 
  • Bilangan pelajar lebih kurang 550 orang pada tahun 2013. 
  • Bilangan staf/guru ialah 46 orang dan bilangan staf sokongan pula ialah seramai 13 orang. 
  • 3 buah blok yang terkandung dengan 20 buah bilik darjah. 
  •  2 bilik bengkel KH iaitu untuk kerja kayu dan ERT. 
  • 4 makmal sains iaitu makmal bio, makmal fizik, makmal kimia dan makmal wawasan.
  • Sebuah perpustakaan
  • Sebuah bilik unit media
  • 2 bilik makmal ICT
  • Sebuah bilik literasi
  • 1 buah - Bilik unit peperiksaan, bilik buku teks, kantin, dewan, surau, gelanggang, astaka dan koperasi.
  • 2 blok asrama

VISI
SMKA(P) AlMashoor menjadi sekolah gemilang di Pulau Pinang menjelang tahun 2010.

MISI
Memberi pendidikan berkualiti kepada pelajar-pelajar SMKA(P) AlMashoor berteraskan pengurusan yang telus demi melahirkan insan gemilang dalam akademik, sahsiah dan ko-kurikulum dengan komitmen komuniti bagi memenuhi aspirasi negara.

MOTO
Beriman, Berilmu, Beramal

SLOGAN
Ke arah kecemerlangan ilmu dan kesempurnaan akhlak